Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan banyak berita berkaitan dengan kenaikkan harga barang. Sungguh sukar bagi rakyat Malaysia untuk menghadapi fasa sekarang ini terutama pelajar di sekolah, kolej dan universiti tentu risau akan harga setiap hidangan yang terdapat di tempat masing-masing.
Bagi meringankan beban penuntut IPT, Kementerian Pengajian Tinggi membuat seruan bagi menyarankan pihak IPT menyediakan jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia. Antara IPT awam setakat ini yang sedang melaksanakan inisiatif berkenaan ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaya (UM).
Dengan melaksanakan inisiatif Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan yang menyediakan menu makanan dengan harga serendah RM3.50 bagi setiap hidangan sememangnya amat membantu dalam meringankan beban kos sara hidup penuntut IPT khususnya golongan B40.
Marilah kita bersama mencari jalan terbaik untuk membantu pelajar IPT. Mereka sudah sangat terbeban dengan kos sara hidup semasa, tidak salah jika kita memberikan sesuatu yang dapat memberikan sedikit kelegaan dan menjadikan kehidupan mereka lebih baik di IPT. Ianya kerana pelajar IPT ialah aset masa depan negara yang perlu disantuni.