Rentetan daripada peristiwa pelanggaran protokol halal dalam penyembelihan oleh Thomas Food International Lobethal pada beberapa hari yang lalu, JAKIM telah menghalang sebarang produk dari loji berkenaan untuk di import ke Malaysia.
Perdana Menteri sendiri mengumumkan bahawa Suruhanjaya Patuh Syariah akan ditubuhkan untuk mengawal selia industri halal di Malaysia.
Objektif penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah ini untuk menjadikan Malaysia sebagai Model Rujukan Utama dalam bidang Ekonomi Halal sekaligus untuk memfokuskan perkembangan di dalam sektor kewangan dan makanan.
Menjadi kewajiban bagi setiap muslim untuk memastikan setiap makanan dan minuman yang masuk adalah halal dan bersih. Sudah semestinya ia selari dengan seruan yang disebut di dalam Al-Quran untuk mencari makanan yang baik dan halal.
Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah, ayat 168:
يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ كُلُوْا مِمَّا فِى الْاَرْضِ حَلٰلًا طَيِّبًا ۖوَّلَا تَتَّبِعُوْا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِۗ اِنَّهٗ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ
“Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah setan. Sungguh, setan itu musuh yang nyata bagimu”.
Kita mendoakan agar penubuhan suruhanjaya ini akan berjaya dilaksanakan dan dipimpin oleh golongan profesional. Semoga usaha besar ini memberi impak yang besar untuk industri makanan di Malaysia.