Krisis ketegangan antara Rusia dan Ukraine memberi kesan negatif pada penghantaran sebahagian tanaman ruji dunia, sekali gus menyebabkan inflasi makanan menjadi semakin buruk. Terdapat beberapa kesan negatif antaranya adalah krisis ini akan mempengaruhi harga gandum dan jagung dunia selain bekalan minyak bunga matahari antarabangsa. Malah, pengeluaran bahan input pertanian seperti urea yang mana pengeluar utamanya adalah Rusia. Ukraine dan Rusia merupakan dua pengeluar gandum terbesar di dunia.
Rusia membekalkan lebih 30 peratus bekalan gandum dunia dan krisis ini pasti menyebabkan harga komoditi itu meningkat. Namun, kedua-dua negara ini masih mengalami pertelingkahan politik yang akan memberi kesan kepada ketirisan sumber makanan dunia.
Memetik sirah kebijaksanaan pengurusan bekalan makanan Nabi Yusuf ‘Alaihissalam semasa Baginda memerintah Mesir. Nabi Yusuf AS telah menggariskan persediaan dan kaedah belanjawan yang berhemah, ketika berlaku kegawatan di luar kawalan kita sebagai manusia. Baginda menyediakan pedoman tersebut bagi menghadapi krisis ini. Antara pedoman yang boleh diambil adalah;
1. Sediakan payung sebelum hujan
– Baginda menggagaskan cara berbelanja dengan berhemah. Kemarau, wabak dan peperangan antara situasi yang bukan di bawah kawalan kita. Bahkan kita tidak boleh lari melainkan ia perlu dihadapi dengan tabah. Cara menghadapinya adalah bersedia dan berjimat seperti yang diajarkan oleh Nabi Yusuf AS.
2. Memelihara maslahat rakyat ketika bencana
– Imam al-Qurtubi mengaitkan kisah ini dengan persediaan menjaga maslahat syariat yang terdiri dari memelihara:
(i) Agama.
(ii) Nyawa.
(iii) Akal.
(iv) Zuriat.
(v) Harta.
Islam serius memelihara nasib kehidupan manusia di dunia. Dari kefahaman tersebut, keperluan-keperluan bagi kehidupan rakyat, perlu disediakan oleh Kerajaan pada kadar kemampuan yang ada.
3. Berjimat, berjimat dan berjimat
– Imam Abi Su’ud di dalam tafsirnya menjelaskan dari kisah ini, bahawa suruhan Nabi Yusuf bermaksud:
(i) Kurangkan makan.
(ii) Jangan membazir.
4. Kesusahan memulihkan fitrah manusia
– Jika sebelum ini kita bermewah, waktu sekaranglah saat kita merasai kesusahan. Ambillah peluang yang Allah kurniakan ketika kegawatan ekonomi hari ini, untuk menghakis sikap tamak dan mementingkan diri sendiri yang merupakan penyakit sikap masyarakat negara membangun dan maju.
DPPM akan terus menyokong usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri untuk melaksanakan sekatan lesen (AP) import bahan makanan yang berkuat kuasa serta-merta. Ini adalah langkah penting dalam menjamin keselamatan makanan demi kebaikan rakyat dan negara ini. Akhir sekali, Pemuda PAS berharap agar usaha ini dipermudahkan dan berjalan lancar. Semoga rakyat Malaysia dapat berbelanja dengan cermat dan tidak melakukan pembaziran sebagai persediaan menghadapi krisis ini.